Seramai sembilan pemain muda skuad kebangsaan Indonesia enggan meneruskan karier sebagai pemain bola sepak dan memutuskan untuk menjadi anggota polis negara itu.

Menurut laporan Bola Sport, Ketua Pegawai Operasi Bhayangkara FC, Sumardji mendedahkan sembilan pemain yang memutuskan untuk menjadi anggota polis sekaligus meninggalkan karier sebagai pemain bola sepak, walaupun ada pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan dan mengikat kontrak bersama kelab Liga 1.

Menurut Sumardji, kesemua pemain yang dimaksudkan membuat keputusan tersebut atas kerelaan hati masing-masing dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak.

Antara pemain yang memutuskan untuk menjadi anggota polis ialah Muhammad Ferarri (Persija), Ginanjar Wahyu (Arema FC), Frengky Missa (Persikabo 1973), Kakang Rudianto (Persib Bandung), Ananda Raehan (PSM Makassar), Dimas Juliano Pamungkas (Bhayangkara FC), Rabbani Tasnim Siddiq (RANS Nusantara FC), Daffa Fasya Sumawijaya (Borneo FC), dan Muhammad Faiz Maulana (Bhayangkara FC).

Kesemua pemain wajib mengikuti fasa latihan awal selama lima bulan dan sekiranya layak, maka mereka akan melalui beberapa proses sebelum dilantik sebagai anggota polis Indonesia.

Sembilan pemain muda Indonesia ini juga tidak akan terlibat dalam beberapa kejohanan antarabangsa seperti Piala AFF B-23 Tahun, Piala Asia B-23 Tahun dan Sukan Asia 2023.

Meskipun mengikuti latihan untuk pemilihan anggota polis, pihak kelab masing lagi menyenaraikan mereka dalam skuad dengan harapan mereka kembali ke dunia bola sepak kerana masih lagi mempunyai masa depan yang cerah ekoran usia yang masih muda.